Nabi Musa adalah satu-satunya
Nabi yang boleh bercakap terus dengan Allah S.W.T Setiap kali dia hendak
bermunajat, Nabi Musa akan naik ke Bukit Tursina. Di atas bukit itulah dia akan
bercakap dengan Allah.Nabi Musa sering bertanya dan Allah akan menjawab pada
waktu itu juga. Inilah kelebihannya yang tidak ada pada nabi-nabi lain.
Suatu hari Nabi Musa telah
bertanya kepada Allah. "Ya Allah, siapakah orang di syurga nanti yang akan
berjiran dengan aku?". Allah pun menjawab dengan mengatakan nama orang
itu, kampung serta tempat tinggalnya. Setelah mendapat jawapan, Nabi Musa turun
dari Bukit Tursina dan terus berjalan mengikut tempat yang diberitahu. Setelah
beberapa hari di dalam perjalanan akhirnya sampai juga Nabi Musa ke tempat
berkenaan.
Dengan pertolongan beberapa orang
penduduk di situ, beliau berjaya bertemu dengan orang tersebut. Setelah memberi
salam beliau dipersilakan masuk dan duduk di ruang tamu. Tuan rumah itu tidak
melayan Nabi Musa. Dia masuk ke dalam bilik dan melakukan sesuatu di dalam.
Sebentar kemudian dia keluar sambil membawa seekor babi betina yang besar. Babi
itu didukungnya dengan cermat. Nabi Musa terkejut melihatnya. "Apa hal
ini?, kata Nabi Musa berbisik dalam hatinya penuh kehairanan.
Bai itu dibersihkan dan
dimandikan dengan baik. Setelah itu babi itu dilap sampai kering serta dipeluk
cium kemudian dihantar semula ke dalam bilik. Tidak lama kemudian dia keluar
sekali lagi dengan membawa pula seekor babi jantan yang lebih besar. Babi itu
juga dimandikan dan dibersihkan. Kemudian dilap hingga kering dan dipeluk serta
cium dengan penuh kasih sayang. Babi itu kemudiannya dihantar semula ke bilik.
Selesai kerjanya barulah dia
melayan Nabi Musa. "Wahai saudara! Apa agama kamu?". "Aku agama
Tauhid", jawab pemuda itu iaitu agama Islam. "Habis, mengapa kamu
membela babi? Kita tidak boleh berbuat begitu." Kata Nabi Musa.
"Wahai tuan hamba",
kata pemuda itu. "Sebenarnya kedua babi itu adalah ibubapa kandungku. Oleh
kerana mereka telah melakukan dosa yang besar, Allah telah menukarkan rupa
mereka menjadi babi yang hodohrupanya. Soal dosa mereka dengan Allah itu soal
lain. Itu urusannya dengan Allah. Aku sebagai anaknya tetap melaksanakan
kewajipanku sebagai anak. Hari-hari aku berbakti kepada kedua ibubapaku
sepertimana yang tuan hamba lihat tadi. Walaupun rupa mereka sudah menajdi
babi, aku tetap melaksanakan tugasku.", sambungnya.
"Setiap hari aku berdoa
kepada Allah agar mereka diampunkan. Aku bermohon supaya Allah menukarkan wajah
mereka menjadi manusia yang sebenar, tetapi Allah masih belum memakbulkan
lagi.", tambah pemuda itu lagi. Maka ketika itu juga Allah menurunkan
wahyu kepada Nabi Musa a.s. 'Wahai Musa, inilah orang yang akan berjiran dengan
kamu di Syurga nanti, hasil baktinya yang sangat tinggi kepasa kedua
ibubapanya. Ibubapanya yang sudah buruk dengan rupa babi pun dia berbakti juga.
Oleh itu Kami naikkan maqamnya sebagai anak soleh disisi Kami."
Allah juga berfirman lagi yang
bermaksud : "Oleh kerana dia telah berada di maqam anak yang soleh disisi
Kami, maka Kami angkat doanya. Tempat kedua ibu bapanya yang Kami sediakan di
dalam neraka telah Kami pindahkan ke dalam syurga."
Itulah berkat anak yang soleh.
Doa anak yang soleh dapat menebus dosa ibubapa yang akan masuk ke dalam neraka
pindah ke syurga. Ini juga hendaklah dengan syarat dia berbakti kepada
ibubapanya. Walaupun hingga ke peringkat rupa ayah dan ibunya seperti babi.
Mudah-mudahan ibubapa kita mendapat tempat yang baik di akhirat kelak.
Walau bagaimana buruk sekali pun
perangai kedua ibubapa kita itu bukan urusan kita, urusan kita ialah menjaga
mereka dengan penuh kasih sayang sebagaimana mereka menjaga kita sewaktu kecil
hingga dewasa. Walau banyak mana sekali pun dosa yang mereka lakukan, itu juga
bukan urusan kita, urusan kita ialah meminta ampun kepada Allah S.W.T supaya
kedua ibu bapa kita diampuni Allah S.W.T.
Doa anak yang soleh akan membantu
kedua ibubapanya mendapat tempat yang baik di akhirat, inilah yang
dinanti-nantikan oleh para ibubapa di alam kubur.
Kasih sayang seorang anak kepada
ibu dan bapanya bukan melalui hantaran wang ringgit, tetapi sayang seorang anak
pada kedua ibubapanya ialah dengan doanya supaya kedua ibubapanya mendapat
tempat yang terbaik di sisi Allah.
Untuk mengetahui lebih mendalam
kisah alam akhirat sila dapatkan buku terbitan syarikat Nurulhas yang berjudul:
BILA IZRAIL A.S. DATANG MEMANGGIL
Comments